#6 Siapa Pengarang Kitab Maraqi Al-Ubudiyah ?

Pengarang Kitab Maraqi Al-Ubudiyah

Pengarang Kitab Maraqi Al-Ubudiyah

Kitab Maraqi al-Ubudiyah Syarh ‘ala Bidayah al-Hidayah (مراقي العبودية شرح على بداية الهداية ) merupakan sebuah karya Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (1314H), seorang tokoh ulama terkenal dari Nusantara yang memenuhi hidupnya dengan aktiviti pengajaran dan penulisan ilmu agama Islam di kota Makkah al-Mukarramah.

Kitab Maraqi al-Ubudiyah ini disusun oleh Syaikh Nawawi al-Jawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali al-Thusi (501H). Kitab ini sangat popular di Nusantara, khusus sebagai teks pengajian fiqh dan tasawwuf di pondok-pondok pasantren.

Kitab ini selesai ditulis pada 13 Zulkaedah 1289H/1872M. Cetakan pertama kitab ini telah diterbitkan dan dicetak di Bulaq pada tahun 1293 H/1875 M. Kitab ini, kemudiannya dicetak ulang di Bulaq pada tahun 1309 H/1891 M, di Mesir pada tahun 1298 H/1880 M dan 1304 H/1886 M, di al-Maimanah pada tahun 1307 H/1889 M, 1309 H/1891 M dan 1327 H/1909 M serta Percetakan al-Azhariyah al-Masriyah, Mesir pada tahun 1308H/1890M.

Jika dinilai dari jumlah edisinya yang berbeza-beza ia masih dapat ditemui lagi dalam pasaran hingga sekarang. Kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah yang menjadi tatapan saya ketika menyiapkan catatan ringkas ini adalah edisi cetakan ulang yang diterbitkan oleh Mathba’ah Ben Halabi, Patani, Thailand. Berdasarkan edisi ini ketebalan keseluruhannya merangkumi 103 halaman.

Syaikh Nawawi menyatakan dalam muqaddimah kitabnya:

“ Maka inilah syarh kitab Bidayah al-Hidayah (permulaan petunjuk) yang saya menamakannya sebagai “ Maroqil Ubudiyah ” dengan harapan, semoga dengannya akan mendapatkan keberkatan syaikh pengarang (Imam Ghazali) dan doa penuntut ilmu yang bertanya. Kandungan kitab ini bukanlah idea dan pandanganku sendiri, melainkan himpunan beberapa perkataan para ulama’ yang mulia, berdasarkan kefahamanku – yang dikurniakan Allah – terhadap peninggalan para ulama terdahulu ”.

Sebagaimana kitab asalnya Bidayah al-Hidayah, isi kandungan kitab ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu:

1) Bahagian pertama membincangkan mengenai amalan-amalan ketaatan yang meliputi beberapa panduan adab iaitu adab bangkit daripada tidur, adab masuk tandas, adab berwuduk, adab mandi, adab bertayammum, adab keluar ke masjid, adab masuk masjid, adab selepas terbit matahari hingga gelincirnya, adab persediaan bagi solat fardu, adab tidur, adab solat, adab imam dan makmum, adab Jumaat dan adab puasa[2].

2) Bahagian kedua pula membincangkan mengenai panduan menghindari diri dari amalan-amalan maksiat zahir dan batin. Panduan memelihara daripada maksiat zahir, iaitu memelihara mata (pandangan), telinga (pendengaran), lisan (percakapan), perut (pemakanan), kemaluan, tangan dan kaki. Manakala maksiat batin (hati) pula seperti sifat ujub, takbur dan bangga diri.

3) Bagi melengkapi kitab ini, Syaikh Nawawi al-Jawi meneruskan huraian beliau mengenai “Adab persahabatan dan pergaulan bersama al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta) dan adab persahabatan dan pergaulan sesama makhluk”, seperti adab sesama muslim, adab dengan guru dan adab dengan ibu bapa.

Pengarang Kitab Maroqi Al-Ubudiyah

Dalam menyusun kitab Maraqi al-Ubudiyah ini, Syaikh Nawawi banyak sekali merujuk kitab “ Ihya ‘Ulumuddin ” karya Imam al-Ghazali. Namun begitu, beliau juga ada merujuk kitab-kitab lain, khusus mengenai masalah fiqh ketika menghuraikan bahagian ibadat. Ketika menghuraikan kandungan kitab ini, beliau ada menyebutkan nama ulama atau kitab yang menjadi rujukan beliau, antaranya;

al-Ihya’ ‘Ulumiddin, karya Imam al-Ghazali (rujukan utama), al-Nawawi (al-Minhaj, al-Azkar), Syaikhul Islam Abu Yahya Zakaria al-Anshari ( al-Tahrir, Syarh al-Rawdh), al-Ramli al-Shaghir, al-Ramli al-Kabir, al-Syarbini al-Khathib, Ibn Hajar al-Haytami, al-Wana-i, al-Bujairimi, Syaikh ‘Athiyyah al-Ajhuri, al-Mawardi, Ibn al-Naqib, al-Damiri, al-Bulqini, Ibn al-Shalah, al-Halimi, al-Syubramilasi, al-‘Azizi, al-Ziyadi, al-Fakihi, al-Barkawi, Ahmad al-Mihi, Muhammad al-Samanudi, al-Fansyi, al-Hamdani dan lain-lain. Beliau juga ada merujuk kepada kitab-kitab mengenai bahasa Arab seperti al-Qamus, al-Mishbah dan al-Shahhah.

Terjemahan kitab ini….

Sekadar pengamatan saya di laman sesawang, saya dapati terdapat dua buah edisi buku terjemahan kitab ini telah diterbitkan (semuanya dari Indonesia), iaitu;

1. Terjemah Maroqil Ubudiyah: Syarah Bidayah Al-Hidayah. Diterbitkan beberapa kali cetakan oleh Mutiara Ilmu.

2. Tangga Menuju Kesempurnaan Ibadat, Maraqi Al-Ubudiyyah Syarah Kitab Bidayatul Hidayah. Diterbitkan oleh Lentera Hati dengan ketebalan 360 halaman.

telah membeli
45 minutes ago